Friday, November 20, 2009

SIASAT STATUS SIJIL ANAK NEGERI YB SRI TANJUNG

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri(Adun) Sekong, Datuk Samsudin Yahya kelmarin menggesa pihak Polis, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat Adun Sri Tanjong, Jimmy Wong Sze Phin yang didakwanya mempunyai taraf Sijil Anak Negeri yang meragukan.
 
Beliau yang membuat dakwaan itu, ketika membahaskan Bajet Negeri 2010 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) turut meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) khususnya Majlis Perbandaran Tawau (MPT) mengambil tindakan saman dan undang-undang serta caj terhadap Adun DAP Sri Tanjong itu mengikut peruntukan yang ada.

Beliau yang turut menunjukkan beberapa bukti yang menyokong dakwaannya itu ketika perbahasan itu berkata, ini termasuk pencerobohan tanah dan kawasan taman permainan, rumah Adun berkenaan.

Perang mulut berlaku antara kedua-dua wakil rakyat itu apabila Samsudin berkata YB Pembangkang itu tidak layak menjadi Ahli Dewan.

Katanya, berdasarkan bukti-bukti yang kukuh dan sahih, saya syorkan kepada Dewan yang mulia ini, agar hak-hak kelayakan beliau (Jimmy) dilucutkan serta-merta.

“Saya membangkitkan perkara itu bukan untuk mencari kesilapan mana-mana pihak, prinsip saya mudah sahaja “berani kerana benar, takut kerana salah…kalau ini tidak benar, saya cabar beliau (Sri Tanjong) letak jawatan, kosongkan kerusi DUN dan biarkan rakyat menentukan kedudukan beliau,” tegasnya.

Menurutnya, ini adalah amanah dan tanggungjawab beliau sebagai wakil rakyat bagi memastikan rakyat Sabah khususnya pengundi di DUN Sri Tanjong, tidak lagi terus di perdaya oleh Adun itu.

“Sri Tanjong selalu melemparkan tuduhan tidak berasas kepada kerajaan, bercakap bohong di Dewan yang mulia ini, kononnya menjadi hero membela rakyat,” ujarnya.

Pada ketika ini Jimmy berdiri dan memberitahu Speaker (Datuk Juhar Mahiruddin) bahawa Samsudin telah menyeri peribadinya.

Menyokong dakwaan Samsudin itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bugaya, Datuk Ramlee Marhaban yang juga mendakwa Adun Seri Tanjung telah menjalankan projek di Tawau yang boleh menjejaskan alam sekitar.

Sementara itu, ketika ditemui di luar Dewan, sama ada beliau akan membuat laporan polis dan kepada SPRM terhadap dakwaannya di dalam Dewan itu, Samsudin berkata, terserahlah kepada sesiapa yang akan membuat laporan, oleh kerana beliau akan berangkat ke Tanah Suci Mekah malam ini untuk mengerjakan Haji.

No comments:

  © Blogger template The Business Templates by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP