Wednesday, January 12, 2011

Presiden USBO dilantik Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah dan Pengerusi FINAS

Datuk Seri Panglima Mohd. Salleh Tun Said Keruak

Ahli Majlis Tertinggi USBO 
mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berbahagia DSP Salleh Tun Said di atas perlantikannya sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah dan Pengerusi FINAS.

Friday, October 8, 2010

SABAH PASTIKAN ETP BERJAYA

YAB Datuk Seri Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah.
8th October, 2010

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sudah bersedia sepenuhnya untuk bekerjasama dan membantu kerajaan pusat untuk memastikan Program Transformasi Ekonomi (ETP) berjaya dan memberikan faedah kepada semua pihak khususnya di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman berkata, pro- gram ETP selari dengan apa yang diwujudkan oleh kerajaan negeri menerusi Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Hala- tuju Kerajaan Negeri sebelum ini.

“Kita akan bantu apa juga yang boleh…kita percaya kita di Sabah akan dapat memberikan manfaat dan pembangunan se- cara holistik kepada rakyat di negeri ini,” katanya ketika ber- ucap merasmikan Hari Terbuka Program Transformasi Ekonomi (ETP) di sini, kelmarin.

Beliau berkata, ETP selari dengan inisiatif SDC dan ia juga memberi tumpuan kepada sektor-sektor yang telah telah dikenalpasti di bawah inisiatif SDC iaitu pertanian, kelapa sawit, pelancongan serta minyak dan gas.

Musa berkata, ETP bertujuan untuk mengembangkan sektor pelancongan kepada “agri-business” menorah kepada model keseluruhan yang berpaut kepada kehendak dan keperluan pasaran yang berskalakan ekonom serta rangkaian nilai yang bersepadu.

“Salah satu daripada Projek Permulaan-Entry Point Project (EPP)ialah perladangan rumpai laut gred komersial,” katanya  .....selanjutnya

Tuesday, January 12, 2010

Salleh Ganti Tham Sebagai Penasihat Sains Ketua Menteri


KOTA KINABALU, 12 Jan (Bernama) -- Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak dilantik sebagai Penasihat Sains kepada Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Ketika mengumumkan pelantikan itu, Musa berkata jawatan itu berstatus menteri dan berkuatkuasa mulai 4 Jan lalu.

"Dia akan membantu saya dari masa ke semasa dan menjalankan tanggung tertentu (tugas-tugas khas) yang diberikan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri di Wisma Innoprise, dekat sini, pada Selasa.

Sebelum ini, jawatan Penasihat Sains kepada Ketua Menteri disandang oleh bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Tham Nyip Shen.

Sementara itu, Salleh, 52, mengucapkan terima kasih kepada Musa atas pelantikan itu dan berjanji akan menunaikan tugas yang diamanahkan dengan baik.

Salleh memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam Sains Politik dari Universiti Simon Fraser, Kanada serta kelayakan Sarjana (Masters) dalam Politik dan Kerajaan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Salleh, yang juga Presiden Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (USBO), amat berpengalaman kerana pernah menjadi Ketua Menteri Sabah, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Menteri Kewangan Sabah dan Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan Sabah.

Sebelum ini, Salleh pernah memegang jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Ketua Bahagian UMNO Kota Belud, anggota Parlimen Kota Belud dan anggota Dewan Undangan Negeri Usukan.

Beliau berkahwin dengan Datuk Seri Hajjah Raya Erom dan mempunyai empat orang anak iaitu Mohd Syarulnizam, Syazeera, Mohd Hafeez dan Syeera.

-- BERNAMA

Monday, December 14, 2009

Sabah Contoh Terbaik Konsep 1Malaysia


Konsep 1Malaysia membawa aspirasi dan gagasan besar pimpinan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, untuk menyatukan rakyat, menjalin perhubungan antara kaum yang lebih mantap dan memupuk perpaduan yang lebih kukuh-Salleh Said Keruak, Presiden USBO.

Sabah yang sinonim dengan panggilan "Negeri di Bawah Bayu, tidak saja kaya dengan keindahan semula jadi tetapi ia juga kaya dengan kepelbagaian suku kaum dan warisan budaya penduduknya.

Walaupun berlainan agama dan budaya, penduduk di negeri ini, yang kini hampir mencecah empat juta orang, sentiasa menunjukkan sikap saling menghormati dan bertolak ansur.

Ikatan yang kuat ini memungkinkan rakyat membangunkan satu landasan yang kondusif untuk memantapkan perpaduan kaum.

Sebenarnya, Sabah mempunyai lebih 30 kumpulan etnik dengan tidak kurang 50 kumpulan bahasa dan 90 dialek, yang mana lebih 30 daripada bahasa itu dimiliki kaum Bumiputera seperti Bajau, Murut, Rungus, Latod, Irranun, Talantang, Sonsogon, Likabau, Garoh (Kimaragang), Tinagas, Idahan, Sungai dan Dusun.

Namun kepelbagaian ini bukan menjadi penghalang untuk mereka menikmati kehidupan yang harmoni dan aman seperti yang wujud sekarang.

Tidak harianlah, Sabah dilihat sebagai contoh terbaik kepada konsep 1Malaysia. Gagasan yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ini, antara lain, menekankan perpaduan nasional, mendahulukan kepentingan rakyat dan mengutamakan pencapaian. Konsep ini selari dengan apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan 5 Prinsip Rukun Negara.

Presiden Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (USBO) yang juga bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Salleh Tun Said mengupas isu ini dalam temu bual dengan Ketua Biro Bernama Sabah, Newmond Tibin.

Berikut ialah petikan temu bual itu:-

BERNAMA: Secara umum, apakah pengertian konsep 1Malaysia pada pandangan Datuk?

SALLEH: Ramai orang sudah mengulas, menulis dan memperkata mengenai hal ini. Bermacam pendapat dan pandangan kita dapat. Bagi saya, konsep 1Malaysia membawa aspirasi dan gagasan besar pimpinan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, untuk menyatukan rakyat, menjalin perhubungan antara kaum yang lebih mantap dan memupuk perpaduan yang lebih kukuh.

Ini menjadi keutamaan kerajaan kerana soal perpaduan ini merupakan prasyarat bagi kemakmuran negara serta kesejahteraan hidup rakyat. Sebuah kerajaan yang teguh bermula daripada ikatan perpaduan rakyat yang kukuh. Jika semangat toleransi dan persefahaman dalam kalangan rakyat agak rapuh, maka kerajaan juga tidak stabil dan apabila kerajaan tidak stabil, maka pelaksanaan agenda pembangunan tidak dapat dilaksana secara berkesan.

Natijahnya, konsep 1Malaysia ini secara jelas mencerminkan komitmen kerajaan mendahulukan rakyat. Ia membawa kesaksamaan dan kesamarataan bagi segenap lapisan rakyat tanpa mengira warna kulit. Di dalam konsep 1Malaysia ini, diterapkan lapan nilai sebagai tunjang utama, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.

Tentunya menjadi harapan pimpinan kerajaan agar pemupukan terhadap nilai- nilai murni ini dapat membawa kejayaan besar kepada Malaysia dalam jangka masa panjang.

BERNAMA: Bolehkah konsep ini dijayakan dan bagaimana penerimaan rakyat terhadapnya?

SALLEH: Memang terdapat pelbagai pandangan mengenainya. Ulasan-ulasan yang kita nampak tidak semuanya sama. Ada pro dan kontra. Malahan, ada yang bersikap skeptikal dan sinis. Pihak pembangkang mempersendakannya. Tetapi semua ini tidak melunturkan kefahaman umum terhadapnya. Sebaliknya, ia menjadi kekuatan yang menyemarakkan lagi azam rakyat untuk terus bersatu padu, memperkuat ikatan persefahaman.

Kejayaan konsep ini bukan sekadar terletak pada bahu pimpinan kerajaan, tetapi sebenarnya lebih berat di bahu rakyat sendiri. Hingga kini rakyat memahami dan sudah mula menterjemah prinsip-prinsip yang terkandung dalam gagasan ini. Melihat kepada reaksi umum itu, maka saya optimis konsep ini boleh berjaya mencapai matlamat pimpinan kerajaan.

BERNAMA: Apakah signifikan konsep 1Malaysia ini dalam konteks Sabah?

SALLEH: Bagi saya, konsep ini membawa makna besar kepada negeri Sabah yang terpisah oleh Laut China Selatan dari Semenanjung Malaysia. Pertama, ia tentu saja membolehkan negeri ini bergerak seiringan dengan negeri-negeri lain di Semenanjung yang fasa pembangunannya lebih pantas daripada kita di sini. Kedua, ia membawa refleksi tentang erti perpaduan dalam kepelbagaian.

Perdana Menteri sendiri pernah menyatakan bahawa Sabah dan Sarawak ialah contoh 1Malaysia. Justeru dalam konteks Sabah, walaupun negeri ini mempunyai lebih daripada 30 etnik dan sub-etnik, tetapi semangat kesatuan dan perpaduan rakyatnya tetap mantap. Ini fakta menarik jika dibuat perbandingan di Semenanjung yang mempunyai tiga etnik utama, iaitu Melayu, Cina dan India serta lain-lain. Sebenarnya, prinsip-prinsip 1Malaysia itu sudah terpakai sejak sekian lama di Sabah, sama ada dalam sosioekonomi mahupun sosiopolitiknya.

BERNAMA: Apa yang Datuk maksudkan?

SALLEH: Ya, sejak mencapai kemerdekaan dan pembentukan Malaysia, kita mempraktikkan penggunaan satu bahasa secara meluas, iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa komunikasi dan bahasa perniagaan, biarpun dalam kepelbagaian adat dan kebudayaan masyarakat yang bersilang fahaman dan ideologi.

Orang di Sabah begitu fasih berbahasa Melayu sehinggakan mungkin sukar untuk membezakan sama ada mereka orang Bumiputera ataupun tidak, kerana semuanya begitu fasih bertutur dalam satu bahasa. Lambang ikatan 1Malaysia juga tergambar dalam kehidupan harian masyarakat negeri ini. Kita lihat di kedai-kedai kopi misalnya, banyak premis perniagaan dikongsi bersama oleh orang Islam dan bukan Islam.

Peniaga bukan Islam menjual minuman, manakala di sudut kedai yang sama disewa oleh orang Islam yang menjual makanan halal. Orang berlainan agama makan dalam premis yang sama tanpa rasa segan dan malu. Keadaan ini menjadi satu kebiasaan bagi kita di Sabah. Ia juga berkait dengan sejarah peradaban dan perkahwinan campur di antara rakyat berlainan fahaman. Secara peribadi, saya juga mempunyai ramai saudara-mara yang bukan beragama Islam dan tidak ada masalah langsung dalam mengharungi kehidupan.

Dalam majlis- majlis keramaian, misalnya kenduri dan perkahwinan, sudah menjadi amalan bagi masyarakat di Sabah menyediakan hidangan untuk tetamu yang beragama Islam dan bukan beragama Islam.

BERNAMA: Bagaimana rakyat negeri ini boleh menyumbang kepada pencapaian gagasan 1Malaysia?

SALLEH: Seperti rakyat negeri lain, kita juga komited untuk bersama-sama dalam arus pembangunan negara merangkumi semua bidang, termasuk ekonomi. Sebab itulah dalam pilihan raya umum lepas, rakyat Sabah memberi sokongan mutlak kepada Barisan Nasional (BN) sehinggakan kita hampir mencapai status "sifar pembangkang" baik di peringkat Dewan Undangan Negeri mahupun Parlimen.

Kemenangan besar itu menjadikan Sabah diiktiraf sebagai "fixed deposit" dan banyak membantu kekuatan BN di peringkat Pusat. Dalam konteks 1Malaysia, tentu saja rakyat negeri ini sentiasa berdiri teguh menyokong dan terus mengukuhkan BN yang ditunjangi oleh Umno. Rakyat negeri ini sangat meyakini konsep 1Malaysia ini mampu mengangkat martabat masyarakat pelbagai kaum, ke suatu tahap yang membanggakan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri.

Kita akan berusaha menentukan rakyat dapat bersama-sama menikmati pembangunan, dan bukan menjadi penonton pembangunan atau penunggu bantuan saja, sebaliknya sama-sama berusaha merebut peluang dan potensi yang tersedia.

BERNAMA: Bagaimana matlamat ini boleh dicapai, sedangkan parti politik pembangkang menjadikan 1Malaysia sebagai senjata mendesak penghapusan Dasar Ekonomi Baru (DEB)?

SALLEH: Dasar Ekonomi Baru telah diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak pada tahun 70-an untuk membanteras kemiskinan serta menyusun semula masyarakat. Ia telah berjaya membawa banyak perubahan dalam masyarakat kita, bukan saja dalam kalangan orang Melayu tetapi juga semua kaum. Desakan berhubung penghapusan DEB itu sebenarnya sengaja dilontarkan oleh pembangkang untuk mencipta polemik dan kontroversi bagi mencari keuntungan politik.

Bagi saya, tuntutan mereka yang kononnya berasaskan istilah adil dan saksama itu mencerminkan kecetekan pemikiran dan tidak melihat masa depan dalam perspektif menyeluruh. Dan mungkin juga mereka sengaja memejamkan mata untuk melihat intipati 1Malaysia itu dari sudut yang negatif. Jika dilihat secara mikro, konsep 1Malaysia ini jelas membawa mesej dan harapan pimpinan kita memakmurkan rakyat dengan mengutamakan pencapaian termasuklah di Sabah.

BERNAMA: Bagaimana Datuk melihat kebebasan media di Sabah dalam konteks pencapaian 1Malaysia?

SALLEH: Sejak dahulu lagi, peranan media dalam pembangunan negara tidak dapat dipisahkan. Ia banyak memainkan peranan dalam memupuk perpaduan, persefahaman dan integrasi dalam kalangan rakyat majmuk sebagaimana diperincikan dalam huraian konsep 1Malaysia, iaitu menuntut setiap warganegara dan pemimpin memainkan peranan masing-masing.

Pengamal media di Sabah telah dapat berfikir melepasi kepentingan kaum dan kelompok. Selain bersikap objektif dan bertanggungjawab, mereka juga kritikal dan memberi ruang kepada pembangkang tanpa membelakangkan nilai-nilai dan etika kewartawanan. Saya katakan demikian kerana media di Sabah sering melaporkan tentang masalah dan rungutan serta keperitan hidup rakyat, dan inilah sebenarnya yang diharapkan menerusi konsep 1Malaysia, iaitu memperbaiki hubungan kaum dan membentuk sebuah masyarakat yang progresif.

Jelas bahawa media di Sabah turut sama-sama mendasari prinsip utama 1Malaysia, iaitu kebersamaan dan kekitaan bagi menjayakan konsep ini. Daripada segi akses kepada maklumat pun, media di Sabah lebih terbuka berbanding akhbar nasional atau akhbar lain di negeri-negeri lain di Malaysia iaitu memberi ruang yang hampir sama kepada semua orang termasuk parti pembangkang mengutarakan atau menyampaikan mesej untuk tatapan umum.

Di Sabah, adakalanya akhbar tempatan menyiarkan atau menonjolkan isu yang dibangkitkan oleh pembangkang di muka hadapan dan pembaca melihatnya sebagai perkara biasa sahaja. Walaupun kebebasan akhbar lebih terserlah di Sabah, namun BN juga tetap menjadi pilihan rakyat seperti yang berlaku pada pilihan raya lepas kerana rakyat bijak menilai maklumat yang diterima.

Dalam konteks ini, saya fikir media Sabah juga boleh dijadikan contoh atau role model kepada media kebangsaan supaya mengamalkan dasar yang lebih terbuka, sekaligus menjayakan aspirasi konsep 1Malaysia.

-- BERNAMA
 Oleh Newmond Tibin

Friday, November 20, 2009

SIASAT STATUS SIJIL ANAK NEGERI YB SRI TANJUNG

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri(Adun) Sekong, Datuk Samsudin Yahya kelmarin menggesa pihak Polis, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat Adun Sri Tanjong, Jimmy Wong Sze Phin yang didakwanya mempunyai taraf Sijil Anak Negeri yang meragukan.
 
Beliau yang membuat dakwaan itu, ketika membahaskan Bajet Negeri 2010 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) turut meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) khususnya Majlis Perbandaran Tawau (MPT) mengambil tindakan saman dan undang-undang serta caj terhadap Adun DAP Sri Tanjong itu mengikut peruntukan yang ada.

Beliau yang turut menunjukkan beberapa bukti yang menyokong dakwaannya itu ketika perbahasan itu berkata, ini termasuk pencerobohan tanah dan kawasan taman permainan, rumah Adun berkenaan.

Perang mulut berlaku antara kedua-dua wakil rakyat itu apabila Samsudin berkata YB Pembangkang itu tidak layak menjadi Ahli Dewan.

Katanya, berdasarkan bukti-bukti yang kukuh dan sahih, saya syorkan kepada Dewan yang mulia ini, agar hak-hak kelayakan beliau (Jimmy) dilucutkan serta-merta.

“Saya membangkitkan perkara itu bukan untuk mencari kesilapan mana-mana pihak, prinsip saya mudah sahaja “berani kerana benar, takut kerana salah…kalau ini tidak benar, saya cabar beliau (Sri Tanjong) letak jawatan, kosongkan kerusi DUN dan biarkan rakyat menentukan kedudukan beliau,” tegasnya.

Menurutnya, ini adalah amanah dan tanggungjawab beliau sebagai wakil rakyat bagi memastikan rakyat Sabah khususnya pengundi di DUN Sri Tanjong, tidak lagi terus di perdaya oleh Adun itu.

“Sri Tanjong selalu melemparkan tuduhan tidak berasas kepada kerajaan, bercakap bohong di Dewan yang mulia ini, kononnya menjadi hero membela rakyat,” ujarnya.

Pada ketika ini Jimmy berdiri dan memberitahu Speaker (Datuk Juhar Mahiruddin) bahawa Samsudin telah menyeri peribadinya.

Menyokong dakwaan Samsudin itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bugaya, Datuk Ramlee Marhaban yang juga mendakwa Adun Seri Tanjung telah menjalankan projek di Tawau yang boleh menjejaskan alam sekitar.

Sementara itu, ketika ditemui di luar Dewan, sama ada beliau akan membuat laporan polis dan kepada SPRM terhadap dakwaannya di dalam Dewan itu, Samsudin berkata, terserahlah kepada sesiapa yang akan membuat laporan, oleh kerana beliau akan berangkat ke Tanah Suci Mekah malam ini untuk mengerjakan Haji.

  © Blogger template The Business Templates by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP