Monday, November 16, 2009

Projek beri manfaat kumpulan besar dilaksana - Shafie



Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal 

Kerajaan hanya akan melaksanakan projek-projek pembangunan di seluruh negara sekiranya ia mampu memberi faedah kepada kumpulan penduduk yang ramai.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal memberitahu, keputusan itu dibuat bagi memastikan projek yang dilaksanakan dapat meningkatkan taraf hidup penduduk setempat secara keseluruhan.

''Sebelum ini, projek-projek yang dijalankan tidak mengambil kira manfaat kepada rakyat sehinggakan jalan yang dibina di sebuah kawasan hanya memberi faedah kepada kumpulan kecil, misalnya sebuah projek jalan di Kedah didapati ia hanya untuk menghubungkan dengan sebuah kawasan tanah perkuburan.

''Maka pada masa sekarang, kerajaan akan memastikan setiap projek yang dijalankan mestilah mengambil kira faedah dan manfaat kepada rakyat seramai mungkin serta tidak tertumpu kepada kumpulan kecil sahaja,'' katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian ketika berucap melancarkan Buletin Lembah Pantai dan Malam Mesra 1 Malaysia anjuran UMNO Bahagian Lembah Pantai di sini malam tadi.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar yang juga Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Shafie seterusnya meminta pemimpin-pemimpin UMNO berkhidmat kepada rakyat dan bukan meminta rakyat berkhidmat untuk mereka.

Katanya, sekiranya mereka berkhidmat kepada rakyat, pada pilihan raya umum akan datang, kawasan-kawasan Parlimen yang sebelum ini jatuh ke tangan pembangkang akan kembali semula kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Sementara itu, Raja Nong Chik dalam ucapannya meminta setiap aktiviti dan bantuan yang dilakukan oleh ahli dan pemimpin UMNO perlu diberi publisiti meluas bagi menunjukkan kepada rakyat bahawa parti itu berkhidmat untuk mereka.

Katanya, selama ini, UMNO banyak menjalankan aktiviti membantu rakyat, tetapi tidak ada satupun yang dilaporkan oleh pihak media dan keadaan ini menyebabkan rakyat beranggapan bahawa parti itu tidak berkhidmat untuk mereka.

''Bermula dari sekarang, setiap aktiviti yang dijalankan perlu diberi publisiti, walaupun ia hanya bantuan kecil kerana perkara ini dilakukan oleh pihak pembangkang.

''Pembangkang mengambil kesempatan daripada aktiviti-aktiviti yang mereka lakukan, walaupun ia hanya satu bantuan kecil, tetapi dilaporkan oleh pihak media,'' katanya.
SUMBER

No comments:

  © Blogger template The Business Templates by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP