Friday, June 13, 2008

MAMPUKAH USBO GANTI USNO JIKA UMNO TUMPAS PRU?

NOTA:
Dalam usaha saya mengumpul maklumat mengenai USBO dalam akhbar dan media massa, saya temui artikel di bawah ini. Saya amat tertarik dengan kandungannya. Walaupun agak terlalu lama tersimpan di dalam arkib Malaysia Today, saya rasa masih releven untuk dibaca hari ini. Saya memang pembaca Malaysia Today sejak beberapa tahun sudah, cuma saya barangkali terleka perkara ini. Terima kasih RPK dan Jomo Sama. Sesungguhnya kamu BERDUA adalah saudara saya.

07/05: Mampukah USBO ganti USNO, jika UMNO tumpas PRU?
Category: General
Posted by: Raja Petra
Oleh Jomo Sama

Mungkin belum ada buku yang memperkatakan peranan Pertubuhan Sabah Bajau Bersatu (USBO) secara futuristik selain daripada buku Mutalib M.D berjudul, IC Projek Agenda Tersembunyi Mahathir?

Walaupun buku tersebut, termahal di pasaran, RM1,000 sebuah, namun tidak menjadi masalah kepada saya untuk membelinya kerana menjadi rujukan lengkap berhubung ’Warga Penyu’ yang telah meranjau politik Sabah sejak 1970-an lagi.

Agak sukar untuk membeli buku berkenaan kerana tidak dijual di kedai dan cetakan amat terhad, iaitu 500 buah, namun melalui rakan saya seorang doktor di Penampang, saya berjaya memiliki buku berkenaan.

Dua bulan selepas membaca buku berkenaan, saya diperkenalkan dengan Mutalib M.D oleh rakan saya, seorang doktor di dalam suatu majlis rasmi namun tidak berkesempatan bercakap.

Minggu lalu selepas Mutalib M.D. membentangkan kertas kerja dalam suatu seminar, saya bergegas menemui beliau untuk menjalankan wawancara khusus kerana sebagai ’Bajau Tulen’ saya berminat dengan pandangan peribadi beliau berhubung USBO.

Saya bukanlah ahli USBO, tetapi menyedari tanggungjawab saya sebagai anak jati Bajau, maka kesempatan yang lama saya nantikan tidak dilepaskan begitu saja.

Saya tertarik kerana Bab 17 buku berkenaan bertajuk: “USNO, UMNO & USBO, Siapa Juara?” menimbulkan pelbagai persoalan yang menarik dan memerlukan jawapan kerana beliau melihat seolah-olah USBO begitu penting dari Perspektif Politik Sabah.

Walaupun Presiden USBO, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said menafikan mempunyai motif tersirat di sebalik penjenamaan semula PSBB kepada USBO, namun dalam masa yang sama hampir seluruh rakyat Sabah melihat USBO mampu menggantikan USNO yang cuba dihidupkan semula oleh kumpulan serpihan UMNO dan bekas penyokong Bersekutu dan USNO.

Ketandusan kepimpinan Bumiputera Islam telah membuka ruang yang cukup luas kepada Salleh untuk menjadi pemimpin ulung kepada bumiputera Islam Sabah yang telah ditinggalkan kosong oleh Tun Mustapha daripada USNO dan Datuk Harris Salleh dengan trademark Berjaya.

Jika sebelum ini Bumiputera bukan Islam menganggap Tun Fuad Stephen sebagai Huguan Siou yang kini dipikul oleh Joseph Pairin Kitingan, Bumiputera Islam tidak mempunyai pemimpin ulung.

Walaupun ’pemimpin’ Islam silih berganti, datang dan pergi, namun Karisma Tun Mustapha dan Wibawa Harris gagal dipenuhi oleh Tun Sakaran, Osu Sukam dan Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.

Pandangan sinis Mutalib tersebut membuatkan saya mula terfikir kenapa saya anak jati Bajau tidak pernah berfikir sehingga begitu sekali peranan yang boleh dimainkan USBO.

Kata Mutalib, sindrom 3K iaitu Kia Si, Kia Su dan Kia Boh (takut mati, takut kalah dan takut bini) yang dihidapi semua pemimpin Sabah termasuk Umno menyebabkan Bumiputera Islam seperti dihina setelah Bumiputera Bukan Islam dipecah dan diperintah.

"Ada pemimpin, seperti tidak ada kepimpinan. Ada kepimpinan seperti tidak ada kejujuran. Ada kejujuran seperti tidak ada karisma. Ada Karisma tetapi kematian perasaan," ujar Mutalib yang mengajak pembaca mentafsir apa yang dimaksudkannya.

Jelas Mutalib lagi, Bajau Asli Sabah akan pupus sekiranya kemasukan beramai-ramai pendatang asing daripada Filipina dan Indonesia tidak terkawal?

"Indonesia?"

"Ya, ramai mungkin tidak menyedari terdapat lebih 40 juta Bajau di Indonesia terutama di Kobang, Sumatera dan Sulawesi," jelas Mutalib yang menyambut baik agar USBO mengadakan lawatan menyusur jejak bangsa ke Indonesia.

Kata Mutalib, setiap pemimpin Bajau harus bijak memisahkan diri daripada sindrom PTI bagi mengelakkan mereka ditohmah dan ditolak oleh anak jati Sabah.

"Pengaruh USBO amat penting untuk Umno kerana Bajau masih mendominasi pola pengundian hampir 44 kawasan pilihan raya DUN dan 15 Parlimen, terutama pengundi luar," ujar Mutalib yang memberikan butir terperinci.

Cuma kata Mutalib, Bajau tidak ada pemimpin yang benar-benar berkaliber seperti Tun Mustapha yang mampu menggerakkan mereka untuk menubuhkan Kerajaan kerana terpaksa berkongi kuasa dan prasangka masyarakat Sabah bahawa Bajau itu pendatang.

"Dalam perebutan kuasa atau percakaran politik, lazimnya kumpulan minoriti mendapat kuasa dan akan mengekalkan kuasa sampai bila-bila kerana mereka yang bertelagah didamaikan oleh orang luar rumpun yang mempunyai wang untuk membeli pengaruh," tegas Mutalib lagi.

Oleh itu Mutalib menegaskan semua pemimpin Bajau perlu bersatu di dalam USBO untuk mengekalkan jati diri mereka dan berjuang untuk semua masyarakat Sabah.

"Parokial (sentimen kaum) tidak timbul langsung. Kita kena kekalkan jati diri, iaitu jangan malu mengaku Bajau jika kita Jurai Keturunan Bajau (JKB). Perpecahan kaum Dusun kepada beberapa jurai keturunan menyebabkan mereka mudah diperintah kerana ada pemimpin mereka sanggup menjual diri dan agama semata-mata untuk mendapat kuasa," kata Mutalib mengakhiri wawancara tersebut.

Tinjauan saya mendapati ada kebenaran pandangan sinis Mutalib terutama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman yang gagal menyesuaikan diri dan memberi nilai tambah kepada pemimpin Bajau, sebaliknya mula mengamalkan dasar pecah dan perintah dengan menaja kumpulan serpihan USBO untuk memukat pengaruh rumpun Bajau yang ’datang tak diundang, pergi tak disuruh’.

Selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Musa berpendapat hanya Umno dan bukannya badan lain yang menjadi platform untuk menyatu dan memperjuangkan nasib rumpun Melayu dan Bumiputera di Sabah.

"Yang penting kita mahu Umno sebagai wadah perjuangan tidak kira suku kaum," kata Musa selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri yang turut membincangkan kemunculan Pertubuhan Bajau Sabah Bersatu (USBO), sebuah badan bukan kerajaan yang diterajui oleh bekas Ketua Menteri Datuk Seri Salleh Said Keruak, bagi memperjuangkan nasib dan kebajikan masyarakat Bajau di negeri itu.

Musa berkata persatuan lain yang berasaskan suku kaum bebas untuk menjaga kepentingan budaya masing-masing.

"Itu terpulanglah kepada USBO sendiri (tetapi) Umno (negeri) telah membuat pendirian bahawa Umno adalah sebuah wadah perjuangan untuk orang Melayu dan Bumiputera dari segi pembangunan, pendidikan dan lain-lain," kata yang mempunyai maksud tersirat.

Pengaruh USBO mula menjarak dan memisahkan rumpun Bajau yang merupakan masyarakat dominan, yang selama ini Musa sangka telah menyokongnya, maka Musa telah mengekang ’Tsunami’ pengaruh USBO dengan menaja Persatuan Sama Sabah (PSS) yang dipimpin oleh Haji Abdullah Sibil, Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Pinjaman Sabah.

Namun oleh kerana Haji Abdullah Sibil tidak mempunyai kewibawaan dan mempunyai agenda peribadi, maka beliau gagal melonjakkan PSS walaupun Musa telah memberi ’kuasa’ meluluskan pinjaman peribadi melalui Perbadanan Pinjaman Sabah kepada pegawai kerajaan yang menyokong PSS, tetapi gagal menarik minat kaum elit Bajau dan golongan menengah yang hampir kesemuanya bersama USBO.

Musa mula sedar, Abdullah Sibil sering 'melelong' atau 'menjual lambak' namanya untuk mendapatkan pengaruh dan memohon kelulusan tanah di Kuala Abai untuk dirinya walaupun tanah tersebut telah diusahakan dan dipohon oleh penduduk kampung sejak 1950-an lagi.

Dengan kelancangan Abdullah Sibil, Musa terpaksa memujuk rakan lamanya ketika di dalam USNO iaitu Haji Ampong Puyon agar menaja penubuhan Persatuan Kebudayaan Bajau Sama Sandakan (PKBSS) yang diterajui oleh adiknya, Haji Alipudin bin Puyon yang telah ditubuhkan pada Mei 2006.

"Kami mahu kebudayaan suku kaum Bajau Sama terserlah dan boleh dibanggakan di seantero Asia", demikian harapan Haji Alipudin dalam usaha mengangkat martabat budaya bangsa yang kini hampir dilupai oleh generasi muda.

Dianggarkan terdapat lebih daripada 50,000 orang masyarakat Bajau Sama tinggal di daerah Sandakan pada ketika ini iaitu kira-kira 40% daripada jumlah keseluruhan penduduk Sandakan.

Namun PKBSS pula umpama lebih kuah daripada sudu, maka besar kemungkinan Musa telah ‘membeli’ USBO yang kini sudah berada di dalam gengaman Musa dan meyakini PSS dan PKBSS sudah tidak relevan lagi untuk memperjuangkan entiti Bajau.

Sehingga kini, Sabah sudah mempunyai 6 Ketua Menteri Melayu iaitu Tun Mustapha, Datuk Harris Salleh, Tun Sakaran, Salleh Tun Said, Osu Sukam dan Musa Aman, namun hanya Harris Salleh dan Musa Aman sahaja yang bukan daripada keturunan Bajau.

Dalam kegemilangan memimpin USBO, agak malang juga bagi Salleh kerana terpaksa mempertahankan diri daripada serangan Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang mendakwa majoriti ahli USBO adalah PTI yang mendapat kad pengenalan Projek.

Walaupun serangan Jeffrey menumpukan tuduhan terhadap Timbalan Presiden USBO, Salsidu Ibrahim yang didakwa Bajau daripada Filipina yang mendapat kerakyatan melalui jalan yang tidak sah, namun dakwaan Jeffrey ada kebenarannya kerana ahli USBO terdiri daripada suku-sakat Bajau iaitu Sama, Suluk, Binadan atau Bannaran, Ubian, Sama Delaut, Sibutu, Sikubung, Simunul, Samal, Yakan, Irranun dan Jama Mapun yang kebanyakannya mendapat Kad Pengenalan Projek di bawah Projek Mahathir di Era Tun Mustapha dan Musa Aman.

Ketika menemui Jeffrey di Sokid Villa, beliau turut mencabar Salleh mendaftarkan USBO sebagai parti politik dan menentang Parti Keadilan Rakyat (keAILan) pada pilihan raya akan datang kerana kesal Salleh sengaja memutar-belit fakta meminta beliau menyenaraikan nama 1.7 juta PTI yang berada di Sabah.

"Tak payah senarai, ramai daripada mereka telah menjadi ahli USBO," tegas Jeffrey yang membidas pemimpin BN terlalu bacul untuk memperjuangkan isu PTI di Sabah.

Tegas Jeffrey, jika Salleh ikhlas, beliau hendaklah membersihkan rekod keahlian USBO dan jangan menerima mereka yang menerima kad pengenalan projek.

"Selepas disaring, mungkin tinggal tidak sampai 100 orang Bajau tempatan," ujar Jeffrey yang pada pandangan saya begitu gerun dengan kebangkitan pengaruh USBO dan cuba menggunakan psywar untuk menentang Salleh di arena politik Sabah.

Dalam pada itu, Mantan Setiausaha Task Force Umno, Haji Jabar Khan @ Yasser Arafat ketika memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Integriti di Dewan Rakyat pada 26 Februari 2007, tidak mengaitkan nama Salleh, sebaliknya menyebut secara jelas bahawa Musa Aman, Yahya Hussin, Bung Mokhtar Radin, Kahar Mohd Zain, Yahya Lampong dan sebagainya terlibat dengan sindiket pemberian 82,000 kerakyatan songsang kepada warga asing.

"Salleh Tun Said satu-satunya pemimpin Umno yang tidak pernah terlibat dengan PTI, tetapi terpaksa akur menerima PTI yang kini menjadi ahli Umno dan USBO. Walaupun saya Irranun, tetapi saya belum masuk USBO," jelas Haji Jabar.

Sebagai seorang ahli politik Veteran yang telah lama melibatkan diri dengan senario politik Sabah, Jabar berpendapat USBO adalah tulang belakang kepada Umno kerana tanpa USBO, Umno akan lemah.

"Besar peranan USBO. Kita kena terima hakikat, ahli USBO begitu penting kepada Umno umpama Usia dengan USNO dahulu," tegas Jabar yang merasakan Salleh mampu membawa kegemilangan yang pernah dilakar Tun Mustapha.

Dengan perlantikan Tan Sri Pandikar Amin Mulia (Adun Tempasuk) sebagai Setiausaha Agung, Haji Salsidu Ibrahim (Presiden Majlis Perbandaran Tawau) sebagai Timbalan Presiden II, Nilwan Kabang sebagai Setiausaha Penganjur, Datuk Amir Kahar Tun Datu Haji Mustapha (Adun Banggi) sebagai Bendahari Agung, USBO dijangka mampu memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Walaupun Jeffrey mendakwa Salsidu menconteng arang ke muka Salleh, namun bukan menjadi penghalang kerana ramai lagi pemimpin Bajau yang mampu menjadi penggerak seperti Basalie Abdul Hamid, Mat Lan Alani, Shafie Afdal, Nasir Tun Sakaran, Hajiji, Nasrun dan sebagainya.

Penyusunan semula jentera USBO dibuat selepas pertukaran nama Persatuan Sabah Bajau Bersatu (PSBB) kepada United Sabah Bajau Organisation (USBO) diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 10 Ogos 2006.

USBO merupakan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang bermatlamat untuk memastikan kesejahteraan komuniti Bajau yang terdiri daripada 12 sub-etnik iaitu Irranun, Sama, Suluk, Binadan atau Bannaran, Ubian, Sama Delaut, Sibutu, Sikubung, Simunul, Samal, Yakan dan Jama Mapun.

USBO menerima sambutan hangat daripada masyarakat Bajau terutama dengan penyertaan lebih ramai profesional untuk memantapkan perjuangan tradisi membela rakyat secara lebih komprehensif kerana sebelum ini USBO hanya melaksanakan aktiviti pembangunan kebudayaan.

Ramai berpendapat USBO lebih menyerlah jika meminda perlembagaannya untuk menerima keturunan bukan Bajau menyertai persatuan itu dan menjenamakan semula USBO sebagai United Sabah Bumiputera Organisation ataupun USNO iaitu United Sabah Native Organisation sebagai jentera terpenting memastikan Umno mempertahankan kuasa dan mengnyah keluar PTI daripada pertubuhan itu.

Mampukah USBO menggantikan peranan USNO jika Umno Sabah tumpas pada Pilihan raya Umum akan datang untuk menghantar mesej kepada Pak Lah bahawa jangan persiakan peranan USBO jika Musa tidak memilih pemimpin USBO sebagai calon!


BERANI....Rombongan UMNO Silam melonjak martabat Salleh, namun pemimpin UMNO yang lain kelihatan Pengecut kerana bimbang dicantas Mahathir pada 1996 (ehsan Mutalib M.D daripada bukunya IC Projek Agenda Tersembunyi Mahathir)


TSUNAMI 1....Salleh disambut oleh 30,000 warga Lahad Datu yang berbaris sejauh 2 kilometer daripada Lapangan Terbang Lahad Datu ke Dewan Masyarakat Lahad Datu. (ehsan Mutalib M.D daripada bukunya IC Projek Agenda Tersembunyi Mahathir)

TSUNAMI 2....Tiada siapa yang mampu menyekat kebangkitan pengaruh USBO di dalam UMNO walaupun Salleh tidak memegang sebarang jawatan eksekutif, namun tetap berbisa.


PIMPIN....Salleh mampu menjadi pengganti Tun Mustapha kerana cakapnya mula didengar dan pengaruhnya mula bercambah sekalipun terperangkap di dalam kepompong UMNO.


HEBAT....Mutalib M.D mengabdikan kenangan sebelum menyerahkan buku ini kepada Pak Lah di Putrajaya. (Gambar ehsan Malaysia Mutalib M.D)

2 comments:

Anonymous said...

Jangan sebarang cakap mengenai Tuan tersebut... ramai yang tetap menyokong kewibawaannya... anda berkata demikian seolah-olah anda tidak mempunyai pelajaran dan pemikiran yang tinggi.. think first before you do something..

Anonymous said...

USBO akan muncul sebagai satu wadah yang jitu dan kukuh jika pemimpinnya tidak lari dasar perjuangan asal.

Banya kesatuan bangsa menjadi lemah dan kaku kerana adanya gejalah songsang daripada para pemimpin.Jikalajh semangat perjuangan Tok Paduka Mat Sallaeh dan Tun Datu Mustapha digunapakai,USBO akan mampu menegakkan hak hak Sabah yang telah digadai oleh pemimpin Sabah.

Ex Beret Hijau (Sama KB)

  © Blogger template The Business Templates by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP